Skip to main content

Surat Dari Seorang Ayah Untuk Anak Gadisnya..

Assalamualaikum

Di bawah ini adalah terjemahan penulisan yang diperolehi dari Majalah al-Izzah edisi ke-8 . Softcopy majalah tu saya attachkan, artikel ni di muka surat ke-7 ye.

Ini adalah surat dari seorang antara lelaki pengembang dakwah terawal kepada salah seorang anak perempuannya sebelum majlis perkahwinannya. Pada masa itu beliau sedang berada jauh darinya disebabkan ia dipisahkan dari keluarganya oleh pemerintah yang zalim. Dalam surat ini ada tauladan yang menyebabkan al-Izzah berminat untuk menampilkannya buat kalian wahai saudara saudari yang dimuliakan. Meskipun jauh dan terpisah dari naungan pandangan seorang bapa, pengembang dakwah terhadap ahli keluarganya, beliau tidak pernah mengabaikan tanggungjawab memelihara mereka mana yang termampu olehnya. Mereka mempunyai bapa yang gemar memberikan nasihat yang ditujukan untuk anak-anaknya ke arah jalan yang sesuai dengan ajaran Islam.
Berbeza dengan apa yang dapat kita saksikan pada hari ini, fenomena perceraian berleluasa dalam masyarakat, yang akhirnya mengubah persepsi anak-anak perempuan kita terhadap hubungan perkahwinan ini hingga akhirnya mereka beralih dari pandangan mentaati suami dan mewujudkan mawaddah dan rahmah, kepada pandangan konflik dan pertengkaran antara pasangan suami isteri mengenai siapa yang patut memaksakan kehendaknya dan siapa yang patut menguruskan rumah. Perubahan ini bukan terhasil dari komitmen mahu pun syarak, tetapi dari wujudnya pengaruh konsep-konsep Barat terhadap hubungan tersebut. Malang sekali kita temukan bahawa pandangan-pandangan kaum pemudi kita mengarah kepada hubungan ala Barat: si wanita belajar dan bekerja serta menghasilkan sepertimana yang dihasilkan oleh lelaki. Oleh itu, mereka tidak saling berbeza dalam hal kepimpinan rumahtangga. Tidak seorang pun dari mereka memahami kata-kata saya bahawa ia adalah seruan untuk kaum wanita agar tunduk terhadap suami mereka sama ada ini hak atau batil, mengikut syarak atau selainnya. Bahkan, kita hendaklah kembali kepada hukum-hukum syarak yang mengatur hubungan ini dengan cara yang diredhai Allah dan yang menjamin kedua-dua pasangan suami isteri memperoleh kebahagiaan dunia dan kenikmatan akhirat.
Setelah muqaddimah pendek ini, saya kemukakan kepada kalian isi surat tersebut. Mudah-mudahan ada kebaikannya bagi mereka yang baru menempuh alam perkahwinan.


Bismillahirrahmanirrahim
Anakku yang tercinta,
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Ucapan terbaik dan ucap selamat yang terindah serta kerinduan yang terhangat ayah kirimkan buatmu melalui cairan wangi dengan memohon kepada Yang Maha Kuasa agar ianya sampai kepadamu dalam keadaan dirimu sihat dan afiat serta tenang dan berbahagia. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengabulkan permohonan.
Pengantin kami yang dikasihi,
Suratmu telah sampai kepada ayah semalam, sayang. Ketika ayah membacanya, bergenanglah mata ayah dengan limpahan air mata dan tidak ayah ketahui sebabnya. Ayah tidak biasa menangis ketika membaca surat. Ayah juga tidak pernah rasa menderita sebegini. Namun, surat ini menjadi surat pertama yang menggoncang perasaan ayah, mengalirkan air mata ayah serta menggerakkan jiwa sanubari ayah. Pun ayah tidak tahu adakah hal itu kerana ianya dari si sayang ayah yang hampir memulai kehidupannya yang terpisah dari ayah? Atau pun kerana ianya dari si sayang ayah yang amat berharga di hati ayah dan ayah khuatiri hembusan bayu akan menyakitinya.
Bagaimanalah tidak kerana ayah melihatnya akan menempuh gerbang kehidupan baru. Ayah berharap dari segenap jiwa raga ayah dan ayah berdoa kepada Allah SWT setiap pagi dan petang agar Allah melimpahkan kebahagiaan dan keharmonian meneduhi alam barunya itu. Ayah jua berdoa kepada Allah SWT agar teman usia dan kehidupannya adalah sebaik-baik suami dan teman. Agar dia diliputi oleh rasa simpati, kasih sayang, belas dan cinta sepertimana ia perolehi di rumah tempat tumbuhnya, sangkar tempat asal dan tempat membesarnya. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar dan Maha Mengabulkan doa.
Bersambung…

Anakku yang dihargai,
Ayah berasa bangga menuliskan kepadamu surat ini tatkala dirimu sedang di ambang kehidupan baru. Jikalah tidak kerana perpisahan, berpisah dari rumah kedua orang tua ke rumah suami merupakan sunnatullah pada makhluk ciptaan-Nya, dan sunnah yang telah ditentukan ke atas semua, tidaklah ayah benarkan seorang pun di dunia ini untuk memisahkan kita. Tetapi apalah helah ayah sedangkan Allah SWT telah menghendaki hal ini sejak dari azali lagi dan sunatullah ini akan tinggal kekal pada makhluk-Nya sehingga Allah mewariskan bumi ini dan mereka yang ada di atasnya. Hanya dengan sebab itu sahaja ayah membenarkan orang lain untuk membawamu ke rumahnya dan menyimpanmu dalam sangkarnya.
Meski apa pun yang ayah katakan dan tuliskan…ayah tidak akan mampu untuk menyingkap apa sesungguhnya yang tersembunyi di hati ayah.Oleh itu, ayah menuliskan kepadamu surat ini yang mengandungi beberapa nasihat yang ayah perolehi dari kehidupan ini sementara dirimu sedang memasuki alam tugasmu yang asal, iaitu untuk menjadi ibu dan pengatur rumah tangga dan beroleh kemerdekaan dalam hidup.

Anakku yang disayangi,
Ayah ingin menulis kepadamu beberapa nasihat untuk kau amalkan dan kau lakukan sebaik mungkin terhadap pasangan hidupmu. Sesungguhnya ayah impikan kebahagiaan, ketenangan dan keharmonian memayungi sangkar kecilmu yang ayah harap akan menjadi besar dengan adanya anak-anak yang soleh dan solehah.
Ketika kau membaca surat ini, janganlah kau tergesa-gesa dan janganlah kau tanggapi topik-topik pembicaraan ayah dengan pandangan pertamamu, bahkan berulangkalilah membacanya. Perhatikannya berkali-kali sebelum dan selepas perkahwinanmu. Masa akan menyingkapkan kepadamu banyak perkara yang akan ayah nyatakan nanti. Ayah telah memahami pemerhatian ini dari berita-berita yang ayah dengar dari orang ramai secara umum. Dan jua apa yang ayah telah hadapi, perhatikan dan lalui dalam kehidupan berumahtangga ayah dalam tempoh masa hampir lapan belas tahun.
Pada masa yang sama, ayah sesungguhnya tidak menyatakan bahawa ayah telah sangat arif dengan semua permasalahan yang kadang terjadi dalam kehidupan berumahtangga, antara suami dan isteri, kerana mengetahui semua perkara itu kan sifat Allah Tuhan sekelian alam. Tetapi ayah katakan bahawa ayah hampir mengetahui apa yang penting dan tampak menonjol darinya dan yang kadangkala nampak seolah-olah kecil dan remeh tetapi memiliki pengaruh yang besar terhadap perjalanan hidup berumahtangga dan hampir memusnahkan mereka jika tidak ada beberapa hikmah, sikap sabar serta tabah dan panjang fikiran.
Demikian juga, sesungguhnya kehidupan sentiasa berubah dan dipengaruhi oleh situasi di dalamnya dengan begitu jelas dan nyata sekali. Kadang situasi ini berbeza antara satu keluarga dan keluarga yang lain dan dari satu lingkungan kehidupan dengan yang lain, juga dari satu negara dari negara yang lain dan seterusnya.
Namun masih ada di sana beberapa perkara yang jelas masih kekal dan garis-garis besar dan selainnya tergabung di bawahnya atau menurutinya. Berdasarkan muqaddimah atau pengantar yang sederhana ini, ayah ringkaskan kepadamu point-point penting ini yang ayah harap kaudapat fikir dan perhatikan dengan sepenuh-penuh perhatian:



1. Kehidupan berumahtangga yang kau dirikan haruslah didasarkan pada sifat saling faham-memahami dan berkasih sayang.
Oleh itu, wanita hendaklah menghulurkan keramahan, cinta dan kasih sayang sejati buat suaminya. Kata-kata ini bukan semata omong kosong yang sering diulang oleh suami atau isteri. Bahkan ia adalah payung yang bernaung di bawah bayangnya kedua-dua pasangan itu.
Hendaklah setiap dari suami dan isteri merasai kehangatan, kejujuran dan dalamnya cinta mereka. Jauhilah dan jauhilah dari menggambarkan bahawa kehidupan berumahtangga ditegakkan atas kalimah-kalimah kosong dan bisu yang kehilangan maknanya seiring berlalunya masa. Konsepnya juga musnah dengan diulang-ulang sebutannya sempena ada atau tidak acara tertentu … Kedalaman, kejujuran dan kehangatan cinta itulah asal bagi kehidupan berumahtangga.
2. Setiap dari pasangan, suami dan isteri, lelaki dan wanita, wahai anakku yang mulia.. ada batasan…yang masing-masing wajib patuhi. Apabila setiap orang mengetahui batasannya dan dipatuhinya, semua urusan akan berjalan lancar dan semua kesusahan akan dapat diatasi secara otomatik.

Perkara pertama yang perlu diketahui oleh isteri adalah bahawa suaminya merupakan pemilik kepimpinan di rumah. Solahiyyah sepatutnya diagihkan secara adil sebagaimana perintah Allah SWT. Wanita adalah ibu dan pengatur rumahtangga… Rumahnya adalah kerajaan kecilnya yang dia kendalikan dan dia bersemayam di situ. Sementara suami, kerajaannya adalah di luar rumahnya tempat dia melaksanakan semua tugasnya.

Demikianlah Rasulullah SAW menentukan kepada Fatimah dan Ali k.aw. Bahawa Fatimah wajib melaksanakan semua tugas di dalam rumah sementara Ali menjalankan semua tugas di luar rumah.

3. Wahai sayangku, ketika dirimu di ambang kehidupan baru, jauhilah dari menyangkakan bahawa suami atau rumahtangga adalah seperti ayah atau rumah ayah. Dalam rumah ayah, kau boleh meminta apa sahaja yang kau inginkan tanpa susah payah dan adakalanya kau marah dan gelisah. Tetapi di rumah suamimu, kau tidak boleh melakukan hal itu sama sekali. Oleh yang demikian, jauhilah dari banyak meminta, bahkan permintaanmu itu wajiblah dalam batas yang masuk di akal dan perkara yang kau benar-benar perlukan.
Kemudian, ada sebabnya bagi sesuatu permintaanmu itu… tidak semua masa sesuai untuk kau meminta… Oleh itu kau mestilah cerdik supaya kau mengerti masa-masa yang paling sesuai untuk permintaanmu itu, seterusnya permintaanmu itu perlulah dalam batas yang logik, yang pendapatan atau gaji suamimu boleh menampungnya.
Banyak meminta dari suami akan membawa kepada kebosanan dan kejemuan serta perasaan tidak dihargai terhadap tanggungjawab atau situasi-situasi umum.
4. Sesungguhnya ketaatan kepada suami termasuk ketaatan kepada Allah. Oleh itu, hendaklah kau taati semua yang dipinta oleh seorang suami terhadap isterinya kerana Rasulullah SAW bersabda: “Mana-mana wanita yang keluar dari rumahnya tanpa izin suaminya, malaikat akan melaknatnya hingga ia kembali semula ke rumah.” Dari hadith ini jelaslah bahawa ketaatan adalah sesuatu yang penting dalam kehidupan berumahtangga.

Sesungguhnya ketika ayah menceritakan tentang ketaatan, ayah tidak bermaksud kau harus taat pada semua perkara, tetapi hanya terhad pada perkara yang halal, yang telah dihalalkan oleh Allah SWT. Jangan kau taat pada perkara yang haram selama-lamanya kerana Rasulullah SAW bersabda: “Tiada ketaatan terhadap makhluk pada perkara maksiat kepada al-Khaliq.” Oleh itu, kau wajib berlaku taat dalam batasan yang halal dan tidak melampaui pada yang haram. Jika seorang suami, atau makhluk lain memerintahkan kepada perkara yang haram, janganlah ditaati langsung.

5. Sentiasalah kau beri perhatian terhadap suamimu. Perlihatkan penjagaanmu dan kepedulianmu yang ikhlas padanya. Tidak seharusnya seorang wanita itu mengabaikan perhatian, penjagaan dan keprihatinan terhadap suaminya meski bagaimana keadaannya.

6. Jauhilah dirimu dari menampakkan keluhan dan kebosanan dengan jelas dan berulang kali. Jauhilah anakku, jauhilah. Bahkan kau sepatutnya sentiasa dilihat tersenyum malu, berseri wajah dan ceria…gembir. Wajahmu dipenuhi dengan senyuman meski bagaimana teruk keadaan hari yang kau lalui.

Banyak mengeluh dan menunjukkan bosan akan seterusnya menyebabkan suamimu akan mengeluh sendiri dengan keluhanmu itu dan bosan dari rasa bosanmu itu, yang membawa kepada natijah yang negatif dan buruk yang tiada siapa mengetahuinya melainkan Allah. Hal itu bergantung kepada bagaimana dia dapat mengelola dan mengekang perasaannya dengan baik.

7. Anakku yang dicintai, jauhilah dari dilihat tidur atau masuk tidur sebelum suamimu. Tetapi jadikan tidurmu selepas ia berasa tenang dan naik ke tempat tidurnya. Jangan tidur lebih awal darinya, tetapi tunggulah suamimu walaupun dia lewat sampai ke rumah. Barangkali dia memerlukan sesuatu darimu seperti menghidangkan makanan untuknya atau melayannya.

8. Jauhilah wahai anakku dari menggesa suamimu agar memberikanmu laporan terperinci mengenai apa yang terjadi padanya pada siang hari dalam pekerjaannya dan hubungannya dengan orang lain. Kehidupan berumahtangga bukanlah laporan-laporan yang perlu dikemukakan kepada di penghujung siang dan di awal malam, bukan juga menyingkap akaun oleh suami untuk dikemukakan kepada isterinya.
Sekiranya suamimu membuka sesuatu hal kepadamu, terimalah dan tenangkanlah dia. Jika tidak jangan kau bertanya-tanya… Ramai lelaki bahkan sebahagian besar mereka tidak suka dilihat-lihat rahsianya oleh orang terdekatnya walaupun isterinya. Jika kau melakukan hal itu dan kau menggesanya, dia akan merasa lelah terhadapmu atau mula menjauh dan menghindar diri darimu. Maka janganlah asyik menggesanya kepada situasi seumpama ini selama-lamanya.
9. Janganlah wahai anakku, kau duduk bersamanya sekembalinya ke rumah, kau kemukakan kepadanya laporan terperinci mengenai apa yang berlaku padamu pada siang hari, apa yang dikatakan oleh si fulanah ini dan si fulanah itu. Ataupun pakaian apa yang dipakai oleh si fulanah jiranmu, apa yang dibelinya atau barang apa saja yang dibawanya dari pasar. Ramai lelaki tidak suka mendengar perkara-perkara ini. Jika dia mendengarkan darimu buat pertama kalinya, sebenarnya dia mendengarnya dengan rasa enggan. Jika dia menanyakan lebih lanjut kepadamu, barangkali dia cuba memahamkanmu tetapi dia selanjutnya akan berkata kepada dirinya sesungguhnya dia ni manusia remeh, bicaranya tidak lebih dari bercerita mengenai jiran-jiran. Perkataan manusia yang lebih dari ini termasuk mengumpat, memfitnah dan membuka aib (rahsia) orang lain.
Jika kau wahai anakku mendengar sesuatu atau seseorang berkata sesuatu kepadamu, hendaklah kena pada masanya kemudian letaknya di sudut-sudut lupa pada otakmu.
10. Sesungguhnya kehidupan berumahtangga ini wahai anakku, kadang dipenuhi oleh pelbagai perkara. Janganlah kau terlalu ambil peduli. Jika suamimu marah dan bercakap dengan kata-kata yang kadang tak kena tempatnya, berdiam dirilah sehingga dia berasa tenang. Dan ketika dia telah tenang, dia akan mula memuhasabah dirinya sendiri dan akan kembali kepada kebenaran meski bagaimana degil pun dia.
Sementara jika dia berbicara dan kau pun berbicara, bertambah rumitlah masalah. Tali tidak boleh ditarik kuat dari kedua-dua belah pihak. Jika dia marah, jauhilah diri darinya… pergi ke dapur dan buatlah secangkir kopi… hidangkan padanya dengan senyuman manis dan kemaafan yang lembut… demikianlah kau akan menjadi hebat pada matanya… dan bertambah kukuh kedudukanmu di hatinya.
11. Jika dia menyertakanmu dalam satu pembicaraan dan dia sedang berkata, janganlah kau memotong kata-katanya, atau bercakap mewakilinya kerana hal ini akan menyebabkannya berasa marah. Diamlah sahaja sehingga dia selesai berbicara. Jika kau ada perkara yang ingin ditambah pada bicaranya, katakanlah. Jika tidak, maka berkata itu adalah perak sedangkan diam itu adalah emas.
Akhirnya, harapan dari lubuk hati ayah dan juga doa-doa ayah kepada Allah agar Alalh membantumu dan melimpahi kebahagiaan ke dalam rumah barumu. Sehingga bertemu lagi insyaAllah dalam surat selepas perkahwinan.
Wassalamualaikumwarahmatullahi wabarakatuh.
Hari raya…30 Mei 1976.
Disalin dari forum alokab (dengan pengubahsuaian).

Comments

  1. Hi! I simply wish to giѵe you a big thumbs uр for the
    great info you have got here on this рost.
    I am retuгning tо your websitе for more soon.



    Also ѵіsit my web-ѕite :: personal loans
    My web site: personal loans

    ReplyDelete

Post a Comment

Saper komen, dia best!

Popular posts from this blog

Bolehkah Wanita Hamil Menggunakan Minyak Panas Atau Minyak Angin?

Sejahteralah ke atas kamu.. Pernah sewaktu mengandungkan Luth dulu, aku minta minyak panas di klinik untuk sapu pada pinggang aku yang sakit kerana dah semakin sarat. Semasa aku ingin mengambil minyak tersebut di kaunter ubat, nurse yang bertugas tu pesan kepada aku, pompuan mengandung tak boleh pakai minyak panas terutamanya yang berwarna hijau. Takut nanti anak jadi hijau. Aku tak sure dia cakap betul-betul ke memain. Tapi muka dia serius dan katanya lagi, itu mak dia yang pesan. Aku dah take note la kat situ pasal minyak panas ni. Tapi pasal warna hijau tu, ada kena mengena ke? Heheh. Tak pernah pulak aku jumpa manusia berkulit hijau melainkan Incredible Hulk. Wanita mengandung memang selalu la akan rasa sakit-sakit pinggang, sakit tulang punggung, bisa-bisa kaki, rasa lenguh badan dan rasa tidak selesa pada perut mungkin sebab perut bergas atau kita biasa panggil angin. Itu sebahagian je aku bagi contoh penyakit yang ibu mengandung alami.  Biasanya bila rasa sakit

Panduan Memilih Buah Oren - Hanya Untuk Orang-orang Yang Belum Tahu

Sejahteralah ke atas kamu... Jika membeli buah oren sama ada untuk dibuat jus atau untuk dimakan begitu sahaja, pasti akan terasa berangin je seluruh badan apabila buah oren yg dibeli tersebut rasanya masam, betul tak? Ada orang kata oren Sunkist manis[*hanya sekadar memberi satu contoh]. Tapi kenapa kalau kita beli oren Sunkist, tak pernahnya nak manis. Kadang-kadang je manis, dan selalunya bapakkkk le masam. Why? Adakah salah Sunkist? Bagaimana nak tahu buah oren itu manis atau masam sebelum kita membayar harganya dan bawa pulang ke rumah dan makan kemudian terperanjat sampai bersimpul gigi sebab terlampau masam buah oren itu? Sebenarnya kalau nak pilih oren yang manis dan sedap dimakan, bukan dilihat pada jenama buah oren itu. Sunkist itu hanyalah jenama. Tapi yang membezakan tahap kemanisan buah oren adalah JENISnya. Tidak kiralah sama ada jenama buah oren itu Sunkist, Blue Field, King B, King Crown atau Tat Sing [eh, Tat Sing tu jenama selipor Jepun.], yang penting sila pastikan

Pasal Ayam Pun Nak Berkira

Sejahteralah ke atas kamu... Saya ni banyak kerenah. Ada benda-benda yang saya memang sangat berkira padahal benda tu benda remeh je. Contohnya kalau makan ayam goreng di KFC,  saya mesti akan request bahagian ayam ' wing ' dan 'rib ' kat kaunter KFC tu. Sebab part ayam yang saya suka hanya part dada dan ke atas je. Wing tu semua tau la adalah kepak ayam bukan kepak biri-biri . Rib plak saya tau ramai yang tak biasa guna perkataan rusuk tu. Saya ni, kalau dapat bahagian ayam yang saya tak suka, saya boleh badmood 44 hari. Sama jugak kalau makan kat restoren biasa. Kalau mula-mula saya nak makan ayam, tetiba tengok ketul-ketul ayam yang tinggal tu semua part yang daging lembik, saya sanggup tukar makan ikan. Saya tau ramai yang suka part pinggul ayam sebab dagingnya lembut dan rasa ayam lebih terasa kat bahagian situ. Bukan la takleh makan terus. Cuma kurang suka je. Yang penting ayam tetap ayam. Ye tak.  Korang jangan le kata saya berlagak + memilih + cerewet w