Iklan! Iklan! Sila Click!

25 June 2010

Abu Bakar As Siddiq

Sejahteralah ke atas kamu yang membaca blog ini...

Pada suatu hari, sedang Abu Bakar as-Siddiq duduk berehat di bawah bayangan pohon kurma sambil membaca ayat-ayat suci al-Quran, beliau didatangi oleh sahabat beliau iaitu Umar bin Al-Khattab.

"Assalamualaikum", Umar memberi salam.

"Wa'alaikumussalam" jawab Abu Bakar.

"Kamu wahai sahabatku, Umar al-Khattab. Dipersilakan duduk." Kata Abu Bakar.

"Apa yang sedang kamu lakukan di sini wahai sahabatku, Abu Bakar as-Siddiq?" tanya Umar.

"Saya sedang berehat selepas penat bekerja di ladang kurma ini. Di samping itu, saya berzikir dan membaca wahyu Allah." Jawab Abu Bakar as-Siddiq.

"Semasa di Mekah, kamu peniaga yg kaya-raya. Mengapa sekarang kamu tidak mahu lagi berniaga, sebaliknya bekerja sebagai petani?", tanya Umar al-Khattab.

"Saya ada tugas yg lebih penting iaitu berdakwah, menyeru manusia supaya menyembah Allah. Namun saya mempunyai keluarga. Sebab itu saya mengusahakan kebun kurma ini bagi menyara kehidupan mereka.", jawab Abu Bakar as-Siddiq.

"Wahai sahabatku,kamu lebih beruntung daripada saya kerana lebih dahulu menjadi pengikut Nabi Muhammad. Semasa saya masih berada di dalam kejahilan, kamu sudah mendapat petunjuk. Kamu juga dipilih oleh Rasulullah mengiringinya berhijrah ke Madinah.", puji Umar al-Khattab.

"Wahai sahabatku, Umar al-Khattab, janganlah terlalu memuji, kerana tidak ada siapa yang tahu nasib kita pada hari pembalasan kelak. Alangkah baik sekiranya saya menjadi sebatang pokok yang ditebang lalu dijadikan kayu api. Ataupun sehelai rumput yang riwayatnya tamat selepas dimakan oleh haiwan.", kata Abu Bakar as-Siddiq.

"Benar katamu, wahai Abu Bakar as-Siddiq.", ujar Umar al-Khattab pula. "Tetapi kita perlu redha dengan ketentuan Ilahi. Kita dijadikan sebagai manusia dan manusia itu adalah sebaik-baik kejadian."

"Semua manusia dibangkitkan di akhirat kelak. Amalan baik dan jahat yang dilakukan semasa di dunia ini akan dikira satu persatu di Padang Mahsyar. Itulah yang menakutkan hati saya.", kata Abu Bakar as-Siddiq pula.

Kelihatan sepasang burung terbang lalu hinggap di pohon kurma tempat mereka berehat. lalu Abu Bakar pun berkata, "Wahai burung, kamu lebih bertuah daripada saya kerana dapat mencari makanan dan berterbangan ke sana ke mari tanpa perasaan takut kepada hari pembalasan. Alangkah baiknya sekiranya saya menjadi seperti kamu."

Abu Bakar menangis kerana takutkan kemurkaan Allah SWT. Umar al-Khattab memujuknya sambil berkata, "Wahai sahabatku, Abu Bakar. Kamu beruntung kerana Nabi Muhammad sudah memberi jaminan yang tempatmu di akhirat kelak di dalam syurga. Malah kamu mendapat kedudukan yang utama antara penghuni syurga."

Kemudian kata Umar al-Khattab lagi, "Nabi Muhammad SAW sudah bersabda, setiap pintu syurga menyeru nama Abu Bakar. Dialah pengikutku yang pertama yang akan memasukinya."

"Benarkah apa yang kamu katakan itu wahai sahabat?" tanya Abu Bakar meminta kepastian.

"Rasulullah sudah mengucapkan kata-kata itu di hadapan orang ramai. Selepas mendengarnya, saya terus ke sini mencari kamu. Marilah kita bertemu dengan Rasulullah.", jawab Umar al-Khattab.

Abu Bakar tersenyum sambil mengucapkan rasa syukur kepada Allah SWT.


Cerita ini adalah petikan daripada buku 'Novel Sejarah Islam : Abu Bakar, Sahabat Sejati' hasil tulisan Abdul Latip Talib.

Salida Sunshine says : Sahabat Rasulullah yang paling setia pun masih takut akan hari pembalasan. Sedangkan hati kita pula bagaimana sahabat-sahabatku? Jauh lagi perjalanan kita untuk menuju kejayaan.

No comments:

Post a Comment

Saper komen, dia best!

Yang Ini Juga Menarik

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...