Iklan! Iklan! Sila Click!

25 June 2014

DIY Homemade Soft Toy - Sock Monkey

Sejahteralah ke atas kamu...

Aku betul-betul tersesat dalam terang sekejap pasal nak update blog ni. Tak faham kenapa la aku rasa teramat malas yang berganda-ganda nak jenguk blog ni. Mungkin sebab aku kurang sihat kot. Minggu lepas balik kampung, pastu bersambung dengan MC 2 hari, lepas tu semalam aku MC lagi. Haiyooo.. Setiap kali balik kampung aku demam, batuk dan selsema. Mekasih la batuk. Dugaan betul.

Ni dah nak dekat bulan puasa ni, aku rasa blog ni mungkin akan makin sepi. Lepas raya le kalo nak kencang balik pon.Tapi tak tau le kot-kot aku rasa cam gedik nak share resepi berbuka puasa ke kan. Kehkeh. Gaya le macam rajin sangat nak memasak.

Dalam masa MC 2 hari, aku sempat pulak buat keras tangan. Dah katanya hobi kan. Demam-demam pun rasa nak menjahit. Ingat senang ke nak dapat mood rajin macam ni. Hahaha. 

Yang aku buat ni adalah Sock Monkey. Aku refer tutorial daripada Craft Passion - Sock Monkey. Hasilnya jadi le macam ni,

Nama monkey ini ialah Oliver. "No more monkeys jumping on the bed"

Saye takde mulut. Heheh.

Memang la tak terlawan dengan rupa yang asal seperti professional buat macam ni;


Lepas je siap sock monkey ni, si Luth tu terus menggelatat nak main. Bagi je dia pegang, terus disuakan masuk mulutnya. Hilang la niat asal nak hadiahkan kat anak kawan aku. Kena buat lain la ye untuk Cik Amni.

Kos untuk membuat sock monkey ini ialah : Harga stokin : RM4/sepasang. Mata google : RM0.20/pc.  Fibre untuk sumbat dalam badan monkey RM2. Muroh je. Hehehe. Tapi kalo ada yang nak tempah, aku kena la amik upah kan. Upah aku RM40000. Wahhh... kayer. 

13 June 2014

Aku Kecewa Fiza-Adam, Abby-Farhan Berpisah

Sejahteralah ke atas kamu...

Ada ke orang yang berkahwin untuk bercerai? Takde aku rasa kot? Melainkan ada agenda pasal nak dapatkan kerakyatan, atau nak dapatkan harta ke, yang tu kira kategori lain la. Korang pon mesti dah dengar tentang perpisahan 2 pasangan artis iaitu Fiza-Adam dan Abby-Farhan. 

Kedua-dua pasangan ini ada persamaannya. Mereka sama-sama buat keputusan untuk bercinta selepas bernikah. Berkenalan sekejap, melamar dan berkahwin. Sepatutnya cara begitu dah bagus. Aku cukup gembira dengan cara mereka sewaktu mereka buat keputusan untuk berkahwin tu. Sebab bercouple itu haram. Bercinta selepas nikah adalah cara Islam yang sebenar. Cuma mungkin mereka belum cukup merisik tentang pasangan masing-masing, melalui orang tengah, maka perkahwinan itu berakhir juga dalam masa yang singkat. 

Aku langsung tak mahu komen tentang punca mereka berpisah, atau siapa yang benar dan siapa yang salah sehingga terjadinya perpisahan mereka tu. Sebab walau banyak mana pun information yang kita dapat daripada media, internet khususnya, kita tetap orang luar yang takkan tahu kisah sebenar. Jadi, kalau tak tahu lebih baik diam. Lebih baik jangan memandai buat spekulasi tentang apa jua pun. 

Aku tahu, bila berakhirnya ikatan perkahwinan 2 pasangan yang 'bercinta selepas nikah' ni, sedikit sebanyak, orang-orang bujang yang belum lagi berkahwin dan pernah berniat nak ikut jejak langkah sebegitu akan terasa goyah pendirian mereka. Lebih ramai orang akan bertambah skeptikal dalam menerima cara 'bercinta selepas nikah' ni. "Haaa, kan dah kata... cemana ko nak kawen dengan orang tu kalau ko tak kenal?". Makin ramai yang takut nak bercinta selepas nikah, takut tak cukup mengenali pasangan, takut perkahwinan berakhir dengan perpisahan kerana tidak serasi.

Ok, now baru aku nak jelaskan tujuan entry ni. Kalau ada yang terniat nak bercinta selepas nikah, sila la teruskan pendirian itu. Sila jangan takut. Anda berada di landasan dan prinsip yang betul. Perpisahan Fiza-Adam dan Abby-Farhan itu mungkin kerana ada kelemahan ke-empat-empat mereka, tapi bukan salah syariat yang telah Nabi anjurkan tu. Buktinya, ada ramai lagi yang bercinta selepas nikah, terus kekal bahagia. Perpisahan atau perceraian bukan bergantung kepada sama ada kamu kenal pasangan tu atau tidak. Ada bersepah pasangan yang bercinta sebelum kahwin pun rumahtangga mereka berakhir dengan perpisahan. Semuanya adalah kerana sudah tertulis begitu. 

So, aku tetap nak galakkan sesiapa yang masih bujang tu, bercintalah selepas nikah. Itu adalah yang terbaik. Asalkan masing-masing tahu peranan masing-masing, asalkan tahu batas-batas agama, insyaAllah akan selamat perkahwinan tu. Ada caranya nak kenal pasangan tanpa bercinta. Perlu gunakan orang tengah. Perlu tanya orang lain, sesuai ke tak. Yang penting gerak hati, perlu ada rasa suka.

Good luck okay, bagi yang berkenaan! Untuk Fiza-Adam, Abby-Farhan pula, aku doakan kalian jika boleh kembali rujuk, kembali la. Jika tidak, semoga akan bertemu kebahagiaan lain yang lebih baik. InsyaAllah.
 


11 June 2014

Istihalah Babi Menjadikannya Halal?

Sejahteralah ke atas kamu.....

Sumber definisi Ringkas ini datangnya daripada OneLifeWordPress


Kebanyakan daripada kita, bila bercakap mengenai hukum sesuatu perkara, kita hanya nak dengar jawapan je, sama ada HALAL atau HARAM? BOLEH atau TAK BOLEH?

Bila ada kemusykilan tertentu, terus sahaja pegi tanya ustaz, contohnya, "Ustaz, boleh tak kalau saya makan daging ayam". Jadi, ustaznya terus menjawab ,"Boleh. Halal". That's it. Tutup kes.

Sedangkan di dalam Islam, hukum halal, haram, harus, makruh dan sunat tu semuanya bukannya sesuatu yang tetap [kecuali yang memang jelas haramnya seperti zina, arak dan lain-lain]. Maksud aku, semuanya bergantung kepada situasi. Sebelum kita nak tentukan hukum boleh ke tak makan ayam tu, kena pertimbangkan dulu. Makan ayam tu waktu bila? Sebab apa? Ayam apa? Sumber daripada mana? Cara sembelih macamana? Semuanya kena consider.

Dalam contoh makan ayam yang aku sebut kat atas ni tadi, katakan la ayam tu memang dah sempurna proses penyembelihannya, betul-betul ternyata bersih lagi suci.

-   Makan ayam harus.

-  Tapi bagi seorang yang ada penyakit alergik dengan daging ayam yang mana jika dia makan juga ayam tu boleh membawa kematian untuk dirinya, maka kalau dia makan ayam yang sama tu jatuh hukumnya haram. [Sebab dah kira dia macam bunuh diri.]

Nampak tak perbezaan situasi tu boleh membawa kepada perbezaan hukum? 

Contoh lagi ye. Daging kucing itu haram dimakan. Tapi harus dimakan jika situasi darurat yang memang dah tak ada makanan lain dah yang boleh dimakan. Maksudnya macam ni, seseorang tu memang dah tersangat lapar. Jika dia tak diberi makan dalam masa seminit lagi, dia akan mati. Yang ada hanya kucing je kat tempat tu [peperangan atau terpencil]. Maka diharuskan makan daging kucing itu dengan jumlah yang kecil setakat untuk menyelamatkan dia itu daripada kematian tu.

Apa yang aku cuba nak sampaikan dalam entry ini ialah... di dalam Islam, kalau kita nak tahu hukum sesuatu perkara tu, jangan hanya nak dengar jawapannya 'halal' atau 'haram' sahaja, sebaliknya kita PERLU tanya sekali dalil kenapa boleh, kenapa halal, macamana boleh jadi haram dan seumpamanya. Bukan simply jawapan dengan sepatah perkataan. Setiap perkara ada penjelasannya dengan panjang lebar. 

Aku tahu, bila keluar artikel tentang sesuatu hukum, bila disertakan hadis atau firman Allah bagi menguatkan pendapat bagi hukum tu, ramai yang tak rajin nak baca. Kita hanya skip part dalil-dalil tu dan terus mencari perkataan 'halal' atau 'haram' sahaja. Sedangkan dalil-dalil tu la yang penting. Dah sampai masanya untuk kita lebih cerewet dalam menerima sesuatu informasi terutamanya yang berkaitan hukum-hakam ni. 

Lain kali bila keluar je artikel yang kata, [contohnya] "Haram potong kuku sewaktu haid", sila tanya orang bagi statement tu, "Apa dalilnya"? maksudnya sila minta hadis atau ayat Quran yang menyatakan hukum itu. 

 ............................................................

Berbalik kepada isu DNA babi ni.... memang kontroversi. Aku bukan nak membela Yusuf Al Qardhawi [YQ] mahupun Dr Mohd Asri Zainal Abidin [DrMAZA], sebab aku tetap berpegang kepada prinsip aku bahawa apa-apa jua daripada sumber babi, tetap harommmm... Kalau aku tahu terdapat unsur babi dalam sesuatu makanan yang aku nak makan tu, aku memang takkan teruskan niat tu lagi walaupun makanan tu aku paling gemar tahap bintang sekalipun. [ikut mazhab Syafie pun memang katakan tetap haram kalau apa-apa yang ada unsur babi. Daripada segi saintifik juga, unsur babi tu tidak akan hilang walaupun sudah melalui pelbagai proses istihalah yang panjang.]. 

Tapi mereka [YQ dan DrMAZA] pun lebih arif tentang bidang masing-masing. Pendapat yang mereka keluarkan pun berdasarkan dalil dan ilmu mereka. Ada perkara yang mereka pertimbangkan dan kaji sebelum mereka keluarkan statement tersebut. Lagipun yang lebih penting, mereka menjelaskan sekali dengan dalil dan penjelasan yang panjang, cuma orang yang merumuskan tentang perkara itu mungkin sudah ringkaskan video penjelasan tersebut atau artikel yang ditulis juga ditulis daripada bahasa seorang penterjemah. Orang yang baca lagi la nak kesimpulan je terus. Takde nak baca huraian lagi. Dapat tak maksud aku? Maksudnya mungkin point sebenarnya YQ dan DrMAZA itu tidak sampai seperti yang sepatutnya sampai kepada umum.

Semalam aku ada hadiri kuliah muslimah. Ustazah Suraya juga ada explain tentang isu ini sedikit. Kata-katanya juga aku dapat digest dan terima dengan baik. Menurut ustazah, YQ menilai dan mengambil qias tentang hukum istihalah DNA babi ni berdasarkan hukum arak yang jelas haramnya yang bertukar proses menjadi cuka. Juga seperti proses seekor anjing yang jatuh ke dalam sekolam garam dan anjing itu larut ke dalam garam sehingga hilang terus sifat2 anjing itu dan menjadi garam terus. Ustazah kata, perlu juga dilihat bahawa arak itu, sumber asalnya adalah anggur. Anggur itu halal. Selepas melalui proses menjadi arak maka arak itu haram. Kemudian melalui proses lagi menjadi cuka dan cuka itu halal. Maksudnya... walaupun arak itu haram, tapi sumber asalnya adalah sesuatu yang halal, iaitu anggur. Sedangkan gelatin babi, sumbernya memang babi, yang memang jelas haram. 

Menurut ustazah, dari segi halal atau haram itu mungkin betul gelatin babi itu halal, tetapi di dalam Islam juga bukan sekadar perlu halal, perlu juga suci dan bersih. Maka, jika halal, belum tentu suci dan bersih. Belum tentu toyyib nya.

Jadi, kita sendiri pilih, sematkan dalam hati sendiri je. Tak perlu kecoh-kecoh post status kat FB sambil kutuk-kutuk babi haram-harom-jijik-keji dan sebagainya. Ingatlah, kita ni hidup dalam masyarakat berbilang kaum. Bukan kerana menyanjungi kaum lain, tetapi hanya sekadar menghormati dan menjaga silaturrahim dan muhibbah. Kalau nak mengulas juga tentang ini, pastikan berbual dalam keadaan yang lebih tertutup. Itu lebih afdhol.

Aku pulak memang tak pelik pun bila keluar statement yang macam-macam sejak akhir-akhir ni. Kita kena ingat yang kita semua ni berada di akhir zaman. Zaman yang paling sukar. Yang paling banyak fitnahnya. Di akhir zaman ini yang benar akan kelihatan bathil sedangkan yang bathil akan kelihatan benar.

Post aku ini, sekadar pengetahuan aku yang amat cetek. Aku minta maaf jika apa yang aku tulis ini ada salah dan silap. Yang mana baik itu sesungguhnya itu adalah ilmu dan ilham yang Allah berikan kepada aku, sedangkan yang mana fakta yang tidak baik itu benar-benar adalah kerana aku memang tak pakar dan tidak arif, kelemahan aku. Semoga bermanfaat.





10 June 2014

PhotoBook Lagi dan Lagi - Pixajoy

Sejahteralah ke atas kamu...

Aku nak bagi photobook kat orang, tapi email aku problem plak tak terima gambar yang mereka send kat aku untuk aku create photobook tu. Sementara tunggu tu, aku siapkan dulu beberapa photobook yang adik ipar aku mintak tolong buat untuk anak-anak dia. 





Yang hardcover tu je Luth punya. Gambar dia tidur je semua. Yang ni aku beli kat Groupon RM5 je satu. Muroh. Pos RM8. Kulit tebal, dalam pun kertas tebal. Tapi hanya ada 16 pages saje. Jadi la daripada takde.




Setakat ni aku dah pernah beli dengan PhotoBook Malaysia, PhotobookMart, Pixajoy dan ada satu lagi aku dah lupa dah nama sarekat dia.

Service Pixajoy terbaik. Al kisahnya, aku buat photobook Faizal Rafif Dhiaulhaq tu, tapi aku salah eja nama. Aku eja Faisal Rafif Dhiauddin. Padahal Dhiauddin tu nama adik dia. Aku ni selenga betul hari tu, aku tak suh dah adik ipar aku check, aku terus upload je yakin benor akan kebenarannya. Sekali bila aku snap screenshot application tu, adik ipor aku kata salah eja. Gelabah ungka kejap aku. Mujur la aku ada beli lebih satu photobook tu. So, aku upload lagi sekali guna no Voucher photobook yang extra tu. Kiranya nanti akan ada 2 copy yang aku dapat bagi photobook Faizal Rafif tu. Satu yang salah eja, satu yang betul. Takpe la. Anak-beranak kira sap sap soi la. 

6 minit lepas tu, [ok, tipu je, dalam 20 minit kot] aku dapat panggilan telefon daripada Pixajoy. Dia kata aku hantar 2 photobook yang sama. Dia tanya adakah aku tersalah upload? So, aku cerita le kisah sebenar. Aku explain baik-baik punye. Ngam ho punye explanation. Lepas tu, wakil daripada Pixajoy tu kata, dia akan batalkan yang mana yang tersalah tu, lepas tu duit delivery RM8 tu dia akan masukkan dalam kredit pixajoy aku. Next time aku beli, boleh guna je kredit tu. Alhamdulillah. Mudah berurusan dengan Pixajoy.

Seronok ada koleksi photobook ni. Anak dah besar nanti, aku yakin dia akan berterima kasih kat kita sebab ada kenangan dia masa kecik. Macam aku ni, masa kecik aku tak banyak gambar. Aku tak kenal diri aku sendiri semasa kecil dulu. Banyak kenangan yang aku dah terlupa. Tapi aku bukanlah nak menyalahkan arwah mak aku mahupun abah aku, apatahlagi atuk aku bila aku tak ada gambar semasa kecil. Zaman dulu, bukannya senang nak bergambar. Aku tau mak abah aku tak mampu nak amik gambar aku dulu. Ehee.

05 June 2014

Hadiah Anniversary Yang Paling Manis

Sejahteralah ke atas kamu..

4 Jun tarikh kahwin aku. Maknanya, semalam la tu anniversary kami. Kehidupan kami ni sempoi je. Takde pun celebrate. Semalam, balik daripada ofis, husband aku bawak balik hadiah untuk aku. 

2 bungkusan pos laju. Ada tudung hoodie daripada zaharah.com. 7 helai semuanya. Aku rasa, zaharah patut ambik aku jadi duta produk la. Kehkeh. Owh, lupa nak cakap, yang ini bukan hadiah anniversary daripada Mat Azghul. Tudung ni aku beli sendiri. Yang dia belikan untuk aku sempena anniversary kami semalam ialah ini... [sila rajin untuk browse ke bawah]




..
.
.
.
.
.


.



.



.



.



.

.
,


.



.



.


..







.





.
...


...


.





.








.









.

Apam balik je. Pun jadi la. Aku pun mmg suka apam balik ni. Thanks my love. Hehehe. *padahalnya tiap2 minggu pun dia beli apam balik utk aku, takyah tunggu anniversary pon. Sweet kan hadiah anniversary aku. Sweet kan hubby aiii? Hekhek.

04 June 2014

Bersalahnya Aku Terhadap Abah

Sejahteralah ke atas kamu....

Sejak arwah mak pergi meninggalkan dunia ini, abah tinggal seorang diri di rumahnya, di kampung. Hanya kakakku yang menjenguk abah setiap hari memandangkan rumah akak hanya di sebelah rumah abah. Aku tidak menafikan, sejak harga minyak naik tahun sudah, aku semakin jarang pulang ke kampung. 2, 3 bulan sekali baru pulang. Itu pun terpaksa bahagikan hari cuti yang sedikit diantara 2 rumah, rumah abah dan rumah mentua. Adik beradik lain juga selalunya hanya akan balik ke rumah abah pada hujung minggu.

Abah semakin hari semakin jauh aku rasakan hatinya terhadap aku, anaknya yang bongsu ini. Setiap kali aku balik ke rumah abah, seawal jam 7 pagi, dia sudah keluar rumah. Minum di kedai kopi yang letaknya di pekan Sg Lembing. Selepas pulang dari kedai kopi, lebih kurang jam 9 pagi, abah sudah mula bersiap untuk ke bandar Kuantan pula. Menaiki motor. Seorang diri. Tidak padan dengan usia tuanya yang sudah mencecah 78 tahun pada tahun ini. "Aku masih kuat", katanya. "Aku bosan duduk di rumah." dan "kalau aku duduk di rumah pun aku tidur je, jadi lebih baik aku keluar pergi berjumpa kawan-kawan", itulah alasannya setiap kali anak-anak menegur tentang betapa bahayanya dia keluar rumah dengan motosikal. Setiap hari dia begitu. 

Abah seolah-olah tidak kisahpun anak-anaknya balik ke kampung untuk bertemu dengannya. Dia seperti melarikan diri bila anak-anak balik ke rumah, dia akan keluar dari pagi sehingga petang. Hanya waktu malam sahaja abah ada di rumah. Kata akak, hari-hari biasa juga abah begitu, walaupun sewaktu anak-anak tidak balik kampung. Aku cuba bersikap lebih rasional. Jadi, pada waktu abah ada di rumah, aku cuba untuk berbual dengan abah. Tapi, baru 10 minit berbual, abah sudah mahu masuk tidur. Dia penat katanya. Aku tersinggung. Makin teguh tanggapan aku bahawa, kasih mak tak sama dengan kasih abah. Memang lain. Abah seperti tidak menghargai pun kepulangan aku, anaknya ini. Diva sangat aku kan.

Bila begitu keadaannya, aku sendiri jadi malas nak balik ke rumah abah. Untuk apa? Balik pun bukan abah ada di rumah. Nak berbual dengan abah pun bukan dia mahu. Jadi, aku lebih banyak menghabiskan masa cuti di kampung di rumah mentuaku, ibu suamiku. Aku jadi semakin berkira dengan abah. Duit bulanan untuk abah pun selalu missed untuk dihulurkan kepada abah. Telefon abah juga semakin jarang, sebab kalau aku telefon selalunya dia tak jawab. Atau kalau dia jawab pun hanya seminit je aku sempat bercakap dengan dia. Paling lama 2 minit.

Aku pun tak tau nak jelaskan perasaan aku. Terasa seperti abah semakin menjauhkan diri. Aku pun dah malas nak mengganggu abah. Biarlah dia dengan caranya. Sewaktu doaku untuk abah, bila tiba bahagian doa, "Kasihi la abahku sepertimana dia mengasihiku sewaktu aku kecil dahulu", aku seperti tak dapat feel yang abah pernah mengasihi aku sewaktu aku kecil dahulu. Aku rasa apa yang abah lakukan sekarang, itulah juga keadaannya sewaktu aku kecil dahulu... Tiada rasa kasih sayang kepada aku. 

Allah itu Maha Mengetahui. Dia Maha Pengasih. Mungkin sengaja Allah sentapkan aku dengan mengembalikan ingatan aku tentang abah sewaktu aku kecil dahulu. Benarkah abah tidak kasihkan aku sewaktu aku kecil dahulu? Aku masih ingat, semasa aku kecil dahulu, abah selalu cium aku dan gomol muka aku menggunakan janggut dan misainya sehingga aku menjerit-jerit geli. Dan abah akan ketawa bila melihat aku begitu. Sekarang, bila aku sudah ada Luth, aku akan cium Luth laju-laju dan gomol pipi Luth seperti abah buat kepada aku, cuma bezanya aku takde misai dan janggut, dan perasaan aku sewaktu melakukan begitu ialah.... sayang yang tersangat sayang...

Semasa aku kecil, abah rajin juga membawa aku bersiar-siar dengan motorsikal pada waktu petang, mengambil angin petang dan akan singgah di kedai runcit semata-mata untuk membelikan sekotak Dindang untuk aku setiap hari [walaupun pada waktu itu harga Dindang 50sen, harga yang agak mahal pada zaman dahulu untuk kategori cikedis]. 

Aku masih ingat, aku selalu request dengan abah untuk belikan breakfast cereal untuk aku, seperti coco crunch, cornflakes, honey star dan seumpamanya sekali dengan susu segar. Abah tak berkira pun. Padahal aku tahu kewangan abah bukannya begitu bagus pada waktu itu. Belum kira lagi aku selalu nak coklat Cadbury. Coklat lain aku tak pandang. Eh, masa tu Cadbury belum ada DNA Cik Biba. Ada masanya aku request KFC dengan abah. Semuanya abah penuhi. Tanpa rungutan. Yang pasti, aku rasa abang-abang dan kakak-kakakku tidak merasa untuk request sebegitu. Ternyata aku la yang paling diva sejak kecik. Huhu....

Kasih abah bukannya terhenti setakat aku kecil. Aku memang tak dapat lupakan, abah yang akan hantar aku meredah sejuk pagi dan gelap subuh mengejar bas jika aku ditinggalkan bas untuk ke pejabat. Abah tiada kereta dan dia pun tiada lesen memandu kereta. Untuk makluman, rumah aku jauh di hulu. Perjalanan ke bandar Kuantan makan masa sejam dengan bas. Aku perlu mengambil bas paling awal, jam 6.30 pagi untuk ke pejabat. Waktu itu aku baru je mula bekerja di organisasi sekarang, tapi cawangan Kuantan. Kereta pun belum beli lagi masa tu. Jadi, bila aku tertinggal bas, memang abah yang akan cuba kejar bas dengan motorsikal kapcainya. Huhu... Sedih sangat bila aku kenang semua tu. Tubuh tua itu, dalam kesejukan, demi memenuhi keperluan aku.....

Tiba-tiba, bila aku dah besar, dah pandai judge orang, aku turut judge kasih sayang abah. Aku dah mula berkira dengan abah. Aku terasa hati dengan abah sedangkan aku lupa semua kasih sayang abah pada aku  sewaktu aku kecil. Mana mungkin abah akan lakukan semua yang aku ceritakan di atas ini tanpa rasa kasih sayang terhadap aku? Saat aku menaip entry ini... terasa sangat kerinduan aku kepada abah. Selepas ini, jika aku pulang ke kampung aku akan duduk sahaja di rumah abah walaupun dia tiada di rumah. Aku akan ikut sahaja rentak abah, asalkan abah bahagia. Biarlah abah tak pedulikan aku sekarang, asalkan aku tahu memang abah sayang aku sejak dulu. Mungkin abah kekok untuk menunjukkan yang dia 'kisah'. Tapi walau apapun, dia tetap abah, yang aku sanjung dari dulu hingga kini. Dia tetap abah yang banyak berkorban untuk aku, terdahulu sebelum aku diambil alih oleh suamiku. 


Abah.... aku harap agar aku dapat gembirakan hati dia mengikut cara dia, bukan mengikut cara aku, sebelum salah seorang daripada kami dijemput Yang Maha Esa. Selamat Hari Bapa untuk semua abah-abah yang membaca blog ini. Sayangilah abah masing-masing walaupun karektor abah memang agak pelik dan kadang-kadang seperti 'keakuan' sikit, tapi mereka tetap abah kita. Harus diingat, cara menunjukkan kasih sayang seorang ayah memang berbeza dengan cara seorang ibu sebab ayah lelaki dan ibu pula wanita.

Yang Ini Juga Menarik

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...