Iklan! Iklan! Sila Click!

27 February 2013

Kisah Diri Sendiri

Sejahteralah ke atas kamu...

Fakta  kehamilan minggu ke 37 [hanya untuk saya sahaja]:-

  1. Sampai sekarang saya masih tak dapat bezakan antara baby mengeras dengan baby menendang. Serius saya tak tau.
  2. Saya masih lagi lebih selesa tidur telentang walaupun saya tau tak elok untuk tulang belakang saya dan untuk perkembangan paru-paru serta jantung baby. Nak buat acane, kadang-kadang masa mula-mula tidur saya mengiring, tetiba bila terjaga tengok-tengok saya terlentang.
  3. Saya masih lagi boleh tidur dengan lenanya kalau dah start tidur. Masa mula-mula nak tidur tu je tak selesa sikit sebab sakit-sakit badan. Tapi bila dah tertidur, memang tak sedar alam semesta dah. Heheh.
  4. Doktor kata baby saya dah turun sikit [masa routine check up minggu lepas].
  5. Berat badan hanya naik 5 kilos lebih je dari awal pregnant sampai sekarang. Kuheh...kuheh.... 
  6. Walaupun setiap hari sapu Bio Oil, tapi stretch mark dah muncul kat bawah perut. Ini bukan kulit yang stretching, tapi mcm daging je. Sebab kulit okay je. Dalaman tu yg nampak meregang. Takut plak nengoknya. Kaw meng aaa...
  7. Penglihatan makin rabun. Menurut optometrist, wanita mengandung memang akan jadi lebih rabun daripada biasa. So, nak tambah power speck atau contact lens, kena tunggu lepas bersalin la untuk tau power rabun yang sebenar. Sampai senak mata nak struggle untuk melihat.
  8. Perlu makan buah jambu batu setiap hari, kalau tidak sembelit. Kalau tak ada jambu batu, buah apa-apa je, asalkan buah-buahan dan perlu dimakan kerap dan banyak. 
  9. Masih lagi akan ketawa bila tengok perut terbonjol sana-sini waktu baby bergerak. Lawak sangat rasanya bila tengok. Mungkin sebab saya suka imagine apa benda yang dia buat waktu tu dalam perut saya.
  10. Sampai sekarang tak tau jantina anak saya ni sebab dia memang seboleh-bolehnya nak tutup rahsia ni dengan kemas.
  11. Teringin nak anak perempuan yang muka macam anak Palestine, dengan rambut ikal perang-perang. [Kah kah kah, sila la ketawa sebab ini mustahil. Dah tentu muka mama dia muka sepet, hidung kembang, kulit kelat. Kalau ikut papa dia ada la potensi sikit.]. Dalam family saya, kebanyakannya memang muka chinese, sepet-sepet rambut lurus kejung. So, kalau anak saya dapat lari daripada kebiasaan muka cina tu, mesti dia akan jadi permata berwarna ungu untuk kami sekeluarga dan we will live together happily ever after. [melampau]. Tapi sebenarnya tak kisah pun anak lelaki ke perempuan. Saya tetap akan suka.
  12. Naluri saya rasa seperti saya akan bersalin awal dalam masa terdekat ni. Peace...

Esok saya ada weekly check up. So, saya amik cuti siap-siap. Supaya tidaklah tergedik-gedik nak MC bila dah sampai tengahari menunggu turn sampai badan dah letih.

26 February 2013

Jangan Bilang Jangan!

Sejahteralah ke atas kamu...

Beberapa tahun dulu, ada satu iklan kat radio yang bagi saya sangat comel.
Suara kanak-kanak bercakap; "Nama saya Jangan. Bila saya korek hidung, mak kata... JANGANNNNNNNN... "

 Ada lagi ayat yang kanak-kanak tu sebut, tapi saya dah lupa. Comel sangat sebab dia ingat nama dia = Jangan. Itu semua kerana mak dia akan sebut 'jangannn' bila dia nak buat sesuatu yang mak dia tak suka.

Saya dah lupa kat mana saya baca satu artikel ni, tapi isi penting di dalam artikel tu saya tetap ingat sampai tahap termimpi-mimpi. Banyak kali plak tu saya bermimpi saya cuba nak praktikkan amalan tu. Key point yang terkandung di dalam artikel itu ialah, "tidak menggunakan perkataan JANGAN di dalam mendidik anak-anak".

Macam susah je nak praktikkan, kan? Biasanya ayat 'jangan' tu kita guna untuk melarang anak daripada berbuat sesuatu. Contohnya, 'jangan panjat almari tu!!!'. Plak tu dengan nada paling cemas dalam dunia. Menurut artikel tu, bila kita larang anak dengan ayat yang mengandungi 'jangan', apa yang anak dengar hanya 'panjat almari tu'. Perkataan 'jangan' tu hanya seperti 'silent' word je bagi dia.

Tak menggunakan perkataan 'jangan' bukan bermakna kita langsung tak boleh larang anak. Cuma perlu tukar kepada ayat cadangan yang lain dengan menggunakan ayat positif. Contohnya kalau kita tak mahu anak panjat almari, kita terus je suruh dia main kat bawah, "Main kat bawah sini je ye intan payung". Maksudnya, daripada kita cakap kepada anak , 'jangan' buat sesuatu, lebih afdhol kalau kita  bagi cadangan kepada anak apa yang dia 'boleh' lakukan. 

Contoh :

1.  Ayat negatif :  Jangan makan guna tangan kiri!
     Ayat positif :  Makan guna tangan kanan sayang comey. *over*

2. Ayat negatif  :  Jangan tengok TV kalau tak habis makan!
    Ayat positif  :  Habiskan makan dulu, baru tengok TV ye.

3.  Ayat negatif  :  Jangan main lipstick mama!
     Ayat positif  :  Ini mainan adik, main yang ini ye. [gantikan dengan benda lain].

4.  Ayat negatif  :  Jangan berlari kat sini! Sini licin, nanti jatuh.
     Ayat positif  :  Kalau lalu kat sini kena jalan perlahan-lahan ye. Kat sini licin.


Itu antara contoh sahaja. Korang mesti boleh faham maksudnya kan? Memang la tak mudah nak amalkan teori-teori mendidik anak ni. Ada bermacam-macam teori berkenaan mendidik anak di dalam dunia ni. Sedangkan, hakikat yang sebenarnya... setiap anak berlainan cara mendidik mereka sebab setiap anak berbeza. Berkenaan larangan menggunakan perkataan 'jangan' ini memang susah nak buat, sebab biasanya lebih cepat dan pantas otak kita fikir ayat yang ada perkataan 'jangan' ni. Dah tentu la kita guna perkataan ni waktu cemas nak halang anak daripada buat sesuatu yang bahaya. Mana sempat nak fikir ayat positif pulak. Betul tak? Tapi kita boleh cuba, praktikkan. Sebenarnya boleh, kalau orang lain boleh takkan la kita tak boleh ye tak?

Saya ni anak pun belum lahir lagi, siapa la saya untuk mengajar orang pulak tentang cara mendidik anak. Orang lain yang dah ada anak ramai pun relax je gunakan perkataan 'jangan' kat anak-anak sejak anak mereka kecil. Tetiba saya nak bajet diva plak macam la berpengalaman sangat. Heheh. Saya bukan apa. Saya cuma berkongsi je maklumat yang saya tahu. Nak praktikkan atau tidak itu terpulang kepada masing-masing. Hokey?

Chow!

25 February 2013

Ini Kisah Makan : Nasi Himpit Sambal Hitam Mat Azghul

Sejahteralah ke atas kamu....

Biarlah gambar yang berbicara...





Sambal hitam ni sebenarnya serunding ikan + kelapa parut. Nak buat ni bahan-bahannya senang je. Cuma cara nak buat tu memang renyah dan makan masa jugak. Sebab nak kena sangai kelapa parut [goreng tanpa minyak] . Pastu rebus ikan, blend ikan, campur dalam kelapa parut yang disangai tadi, then goreng lagi sampai kering, pastu blend lagi. Kesian Mat Azghul sebab lama dia kena bertapa kat dapur untuk menyiapkan sambal ni untuk anak dia makan [melalui isteri dia yang dobot ni]. Ekeke. Siapa nak resepi nasi himpit sambal hitam ni boleh la rujuk di Kompilasi Resepi.

Ini adalah menu pantai timur. Rasanya orang negeri lain tak biasa makan makanan ni kot. Kalau dah sebut pantai timur, dah tentu la rasanya manis. :D. Untuk tekak saya, sambal ni sangat sedap, sama seperti sambal yang makcik-makcik veteren kat kampung saya buat yang saya damba-dambakan untuk makan selama ni. Sungguh berbakat suami saya memasak rupanya walaupun semalam dia masak asam pedas pakai sudip. Hahahaha. Comel kan?

Lepas ni nak request dia masak apa plak ye. Rasa macam nak makan mee rebus Terengganu la. Ekekeke.. Diva plak aku rasa.

22 February 2013

Ini Kisah Makan : Bihun Singapore Mat Azghul

Sejahteralah ke atas kamu...

2 hari lepas, saya plan nak masak bihun Singapore. Bukan teringin nak makan pun  sebab saya takde la suka sangat pun bihun kaler putih yang takde rasa udang tu. Tapi memandangkan kalo buat bihun biasa yang warna merah tu, dah tentu la rasa pedas. Saya plak dah takleh makan pedas. Gastrik. Nanti otometik sakit perut. Jadi, bihun Singapore la pilihan yang ada. Pedas black pepper perut saya boleh plak terima.

Lepas beli barang, dah siap2 potong bawang... tetiba rasa penat sangat. Dah menyala2 dah lampu merah otromen kat dada menandakan tenaga hampir habis. Bila dah penat tu, saya terus je pergi berehat. Kononnya nak rehat kejap je. Mat Azghul yang baik hati dan penyayang tu takde banyak cakap, takde banyak tanya terus sambung menumbuk bawang dan lada hitam. Dia kata biar dia tolong, tapi saya kena la bagi direction. Owhh.. terharunya. 

Lepas pom pang pompang saya ajar dia nak buat apa, nak letak apa, last-last jadi jugakla bihun Singapore yang acekonon je lebih. Kalau tengok resepi kat internet, bahan tumis hanya bawang2 je. Tapi tak biasa plak kalo takde perencah, saya masukkan jugak udang kering. melawan je kan. Maka, ini la hasilnya.... Bihun Singapore yang disempurnakan oleh suami mithali, Mat Azghul.....[buat ombakkkkk].

Balik karang kena basuh la alas meja ni. Tak perasan dah comot.


Bihun ni makan dengan keropok keping. Sungguh sedap air tangan suamiku.


Menu kedua. Penkek Tak Semenggah nama dia. Yang ni saya buat minggu lepas. Saya ni suka sangat makan penkek. Dulu selalu beli kat mekdi. Tapi sejak dah boikot mekdi ni, lama le tak makan. Nak taknak, buat la sendiri walaupun leper je. Tak gebu-gebu pun macam mekdi punya.

Saiznya ada besar ada kecik. Tak senonoh je. Wakaka. Sepatutnya pancake ni makan dengan maple syrup, tapi takdok plok maple syrup kat umoh, maka ganti la dengan madu saje seadanya. Dan tidak dilupakan butter. Puas hati jugak la makan. Lepas ni nak buat lagi walaupun saya cukup benci bermain dengan tepung-tepung dan butter masa nak bancuh batter pancake ni. Kalau rajin main tepung pun hanya utk buat jemput bilis. Hahaha.

Dan semalam pun saya tak masak. Mat Azghul jugak yang merajinkan diri dia untuk masak nasik. Lauk pun sejenis je, sambal udang. Takde sayur, takde lauk kedua. Itu pun dah bersyukur dah. Pun boleh tahan jugak air tangan beliau. *bagi direction dari jauh... saya dalam bilik, dia di dapur. Volume suara kena maksimum, "mula-mula goreng udang tu sekejappppp, bg air keluar...", "pastu blend bawang2 dgn cili kering", "pastu.... bla..bla..bla..". Tak senonoh kan. Gambar sambal udang tak sempat amik sebab saya lapar... Krrr....

Sekarang ini, apa yang saya teringin nak makan ialah nasi himpit sambal hitam. Saya mengadu kat Mat Azghul, kalo saya teringin nak makan apa-apa, terutamanya kalau masakan pantai timur yang payah nak cari kat KL ni, saya terpaksa masak sendiri. Takde sape pun nak layan. Contohnya sebelum ni saya teringin nak makan mee rebus Pantai Timur yang ada banyak sawi dan kuah jernih, saya masak je sendiri. Pastu Mat Azghul kata, takpe... untuk sambal hitam ni biar dia yang buatkan untuk saya minggu ni. Nanti dia google rezepi. Huhu. Terhawuuuu ai...

Sepatutnya ini adalah kisah rumahtangga geli-geli dan personal yang agak mengada-ngada kalau nak cerita kat blog. Tapi sebab semalam Mat Azghul kata, citer la kat blog *pasal dia masak sambal udang tu*, tetiba saya terus mata bersinar sebab tak sangka dia izinkan citer hal dia kat blog. So, saya pun citer la. Nanti derhaka kan? Ngehngeh. Dahhh.. itu jek.

21 February 2013

Doktor Lelaki dan Aurat Wanita

Sejahteralah ke atas kamu...

Saya kerap terfikir, kenapa..... di negara kita ni, tiada penguatkuasaan untuk menempatkan/melantik hanya doktor wanita sahaja di bahagian O & G [Obstetrics and gynaecology, surgical specialties dealing with the female reproductive organs]. Maksud saya di sini untuk hospital kerajaan. Sapa yang kurang faham, lebih specific saya bagitau, bahagian bersalin di hospital kerajaan.Di hospital swasta tak payah cerita la kan. Pesakit boleh request doktor wanita atau doktor lelaki masa nak bersalin. Orang yang mampu, boleh request doktor yang mereka mahukan. Tapi bagi yang tidak mampu?

Graduan perubatan wanita kan ramai. Kenapa tak tempatkan graduan yang ramai itu di bahagian sakit puan? Adakah sebab wanita kurang mahir dengan reproductive organs kaum mereka sendiri? Atau wanita cepat panik untuk sambut wanita lain bersalin? Okayla... Nampak macam saya ni suka mempertikaikan apa yang sudah ditentukan. Negara kita ni katanya negara Islam. Perkara begitu walaupun nampak kecil, tetapi bagi kebanyakan wanita-wanita yang mementingkan aurat mereka, sangat-sangat berharap agar perkara ini mendapat perhatian pihak atasan. Kementerian kesihatan mungkin?  Dari segi hukum pula, adalah harus... jika tiada doktor wanita yang boleh merawat. Tapi doktor wanita yang 'tiada' itu boleh diadakan jika peraturan hanya doktor wanita sahaja yang boleh ditempatkan di bahagian sakit puan.


Ingat tak sedih ke hati seorang wanita bila bahagian yang paling sulitnya dilihat oleh lelaki selain suami sendiri? Memang la doktor lelaki tak heran dah dengan kemaluan kita sebab dia dah selalu tengok, macam-macam kaler plak tu. Kan? Tapi alasan begitu tidak dapat melegakan hati pun kalau betul2 bahagian sulit ditonton/disentuh oleh lelaki lain walau di atas alasan apa jua sekalipun. Cuba bayangkan, seorang wanita yang bertudung labuh... yang begitu menjaga auratnya, tiba masa untuk bersalin, tidak mampu untuk ke hospital swasta, lalu terpaksa ke hospital kerajaan untuk bersalin. Kemudian di hospital kerajaan, dia dirawat oleh doktor lelaki, check bukaan pintu rahim, dipecahkan air ketuban dan kelahiran bayinya disambut oleh doktor yang sama. Jangan nak kata wanita bertudung labuh la, mana-mana wanita pun tak kira la dia pakai tudung ke tak pakai tudung, kalau diberi pilihan antara doktor lelaki dan doktor wanita yang akan memeriksa bahagian sulit mereka, rasanya semua akan pilih doktor wanita. Persoalannya, tiadakah pembelaan untuk kita, kaum wanita?

Jangan salah faham, saya bukan kondem hospital kerajaan. Hospital kerajaan memang terbaik, lengkap kelengkapannya dan pakar pun ramai. Malahan kalau ada kes berat yang tidak mampu ditangani oleh hospital swasta juga akan dirujuk kepada hospital kerajaan. Cuma dari segi bersalin tu, wanita yang ingin bersalin,tiada pilihan untuk meminta dirawat oleh doktor wanita. [Yang tinggal, hanya doa kepada Allah].

Saya sangat berharap dan berdoa agar suatu hari nanti ada pihak yang boleh membela wanita dalam hal ini. Di hospital kerajaan ada berbagai-bagai bahagian perubatan. Salahkah jika bahagian O & G ini sahaja dilindungi daripada kendalian doktor lelaki? Bahagian lain kalo nak letak doktor lelaki  60 orang sekalipun letak le. Ke korang rasa cemana? Okay ke kalo dikuatkuasakan peraturan baru bagi penempatan doktor di O&G?

20 February 2013

Ini Kisah Makan : Lobster Sauce

Sejahteralah ke atas kamu....

Secret Recipe, Jalan Othman.

Mat Azghul tak sihat kelmarin. Saya balik tengahari untuk bawak dia pergi klinik kat Jalan Othman. Dah kebetulan waktu tu lunch time. Saya nak makan kat ofis nanti tak sempat. So, pegi le Secret Recipe dekat area situ. Dah situ je tempat yang logik skit utk kami makan berbanding mekdi selain  restoren nasi kandar yang memang saya tak pandai la nak makan menu kari2 mamak ni.

Tak ingat nama, tak ingat harga. Boleh ke buat food review macam ni? Hehe. Ini adalah ikan dory yang di grill kemudian disirami dengan lobster sauce. Bagi saya hidangan ini agak sedap. Rasa lobster sauce tu memang sangat strong. Sehingga saya terkeliru, "eh.. ini ikan ke lobster??!!". Cuma kekurangannya ialah warna plating. Macam kusam je kan? Patut nak meriah, masukkan la traffic light capsicum. Baru la meriah skit. Ini pilihan Mat Azghul.

Rasanya ramai orang dah bosan dengan kek keluaran Secret Recipe. Berbeza masa kek daripada rangkaian Secret Recipe ini mula-mula  keluar dulu. Kek nya boleh dikira sebagai kek yang mewah dan paling sedap di alam semesta. Tapi sekarang dah rasa biasa-biasa je kot. Gambar di atas ini ialah Berries Cheese Cake[namanya pun saya tak ingat.]. Cheese cake yang berlapis dengan chocolate cheese manakala tapaknya pula adalah cookies. Jem berries dengan buah berries tu boleh neutralkan rasa muak cheese cake tu.
Untuk minuman, kami hanya order air mineral. Menu yang saya pilih pula ialah Chicken Gordon Blue. Yang mana bagi saya rasanya tak sedap ataupun tak kena dengan selera saya. Berminyak, pastu berlemak-lemak. Tak faham sampai rasa tak perlu nak amik gambar. Heheh.




Manhattan Fish Market, Ampang Park.

Yang ini pegi ramai-ramai dengan kawan-kawan ofis. Ada yang bermurah hati untuk belanja. Kalo nak ikutkan hati, nak je order appetizer sekali dengan dessert, tapi oleh sebab kita perlu la fikirkan juga poket kawan walaupun dia kata dia tak kisah. Very thoughtful kan saya ni. Hehehe. Sebenarnya kalo ikut plan asal, dia nak belanja kat restoren makanan Arab, Hadramawt. Tapi ntah la apsal asyik tak jadi je. Kalo nak tau, yang selalu buat tak jadi tu memang saya la orangnya. Time derang dah booking seat untuk esok, saya la yang selalu MC. Kekeke. Saya dah pesan, kalo tanpa saya pun pergi je... saya takkan berkecil hati punya. Tapi derang ni setia orangnya. Heheh. Derang tak pergi tanpa saya. Huhu. Terharu aii. Bila dah selalu sgt tak jadi kat Hadramawt tu, derang decide untuk tukar tempat plak ke Manhattan. Now baru le jadi. Alhamdulillah selesai pun upacara belanja-belanja ni. Murah rezeki untuk yang belanja.

Ini pilihan kawan saya. Nama hidangannya Feesh 'n' Cheese. Sama je macam Fish and Chips, bezanya pada french friesnya disirami cheese sauce. Harga RM18.90.

Ini pula pilihan saya. Hidangan ini namanya Small Flame. Di dalamnya terkandung french fries yang gemuk-gemuk. Sayur-sayuran campuran seperti broccoli dan carrot. 3 ekor udang yang dibelah belakang dan diselaputi dengan cheese kemudian cheese itu dibakar dan cair pada udang tu. Yang paling lebar tu ikan dory yang sangat sedap dan paling saya suka dalam hidangan ini. Sos berwarna putih itu adalah garlic butter sauce. Sangat sedap. Last sekali, di bawah ikan dory tu, ada nasi berempah yang juga sedap [pada tekak saya]. Saya makan sampai habis. Setitik peluh petani pun saya tak tinggalkan pun tau. Harga RM29.90.
Minuman kali ini juga saya pilih mineral water. Saje je malas nak minum minuman manis banyak sangat. Dah makan macam-macam, kasi neutral la dengan air kosong kan? Baru la balance. So, itu je la kisah makan-makan untuk kali ini.


19 February 2013

Roti Canai Perisa Kanak-kanak

Sejahteralah ke atas kamu..

Rasanya ramai yang dah tahu pasal kes penderaan kanak-kanak oleh seorang pembantu rumah yang berlaku di Kuantan kampung halaman ku iteww.. Siapa yang dah tonton video rakaman CCTV tentang penderaan itu, akan tersentuh hatinya kalau dia ada naluri kemanusiaan. Bayangkan anak tu, dilambung, dicampak dan dibolak-balikkan macam le budak tu roti canai. Agaknya profession pembantu rumah tu sebelum bekerja dengan ibu bapa budak tu ialah pembuat roti canai. Gian kot nak tebar roti canai lagi. Itu yang lepas gian kat anak yang lemah dan tidak berdosa tu. 
Comel kemain lagi budak ni.

Kamera CCTV tu parents budak tu pasang di rumah mereka yang terus boleh di akses daripada komputer riba ayahnya. Cuba la korang bayangkan perasaan mak ayah budak tu. Bila mereka menjaga anak mereka dengan penuh teliti dan berhati-hati, tetiba mereka tengok orang lain buat anak mereka macam roti canai. [ceh, aku ni tak abih2 dengan roti canai. wakawaka ei..ei..]. Hancur luluh tak rasanya hati mereka?

Berita terkini tentang anak malang  yang bernama Mohamed Hareez ini, beliau dimasukkan semula ke Hospital Tengku Ampuan Afzan [HTAA] pada jam 8.30 malam semalam, selepas tidak bertindak balas seperti biasa apabila dikejutkan oleh ibunya, Nina Suraya. Menurut ibunya, mula-mula ramai orang datang melawat kat rumah, Mohamed Hareez tidur pada awalnya. Selepas semua tetamu dah beransur pulang, apabila ibunya cuba mengejutkan Mohamed Hareez daripada tidur, langsung tiada tindak balas menyebabkan dia terus dibawa semula ke HTAA oleh ibunya untuk pemeriksaan lanjut.

Saya tak fikir pun hukuman apa yang bakal dikenakan terhadap pembantu rumah itu. Hukuman-hukuman bagi salah laku kat Malaysia ni bukannya adil sangat pun. Mungkin penjara 2,3 tahun. Mungkin bayar denda je. Silap-silap dia tak dikenakan apa-apa hukuman pun kalau kerajaan Indonesia campur tangan. Cuma apa yang saya asyik fikirkan ialah... kenapa dia buat macam tu? Apa yang ada dalam fikiran dia masa dia lambung budak tu? Kalau kita ni manusia normal, nak buat macam tu kat anak kucing pun.... tak tergamak. Sebab comel sangat. Takkan sampai hati nak buat macam tu pada makhluk Allah. 

Inikan pula anak manusia. Comel pulak tu. Apa masalah pendera tu sebenarnya? Ada krisis percintaan ke? Ishhh... Tak dapat nak difikirkan la apa yang ada dalam fikiran manusia-manusia psycho ni. Menurut laporan akhbar yang saya baca, Mohamed Hareez ni jadi trauma dan nampak takut-takut bila ada orang nak bergurau atau nak dekat dengan dia. Kesian kan? Saya mendoakan agar Mohamed Hareez akan kembali sihat dan aktif seperti anak-anak lain yang sebayanya. Amin.

17 February 2013

Pelamin Simple Dan Sweet

Sejahteralah ke atas kamu

Seorang kawan bujang saya bertanya;
"Nanti kalau aku kawen, ko datang tak?"
Saya    :  Tak datang rasanya.
Kawan Bujang  :  Kenapa pulak ko tanak datang?
Saya    :   Dah tu masa aku kawen dulu ko takde pun beriya nak datang. So, aku pun takde la beriya nak datang wedding ko. Hahah.
 Kawan Bujang  :  .....~bagi alasan macam2 punca dia tak dtg wedding saya dulu.. 

 Haaaa.. tau pun sedih kalo orang tanak dtg wedding dia.

...................................................................................

Rasanya semua orang yang rapat dengan saya, tahu bahawa saya ni kawen lambat. Saya kawen dulu masa umur dah cecah 30an. Kawen lambat tu pun kerana saya ada terlalu banyak pilihan. Sampai confuse nak pilih yang mana satu. Sebab tu amik masa yang lama untuk saya decide untuk kawen dengan sapa. Ehehehe. [Ayat cover line].  Lagipun, saya lebih pentingkan kerjaya saya. Nak fokus terhadap kerjaya saya dulu then baru fikir pasal kawen. [jawapan cliche artis Malaysia].

Saya pernah ceritakan di dalam entry saya yang lepas [sebelum cuti raya cina], saya dah volunteer nak buat pelamin untuk anak saudara saya yang melangsungkan perkahwinan pada 10 Feb lalu. Pelamin tu bukan la pelamin yang gempak pun. Konsepnya hanya sebagai centre point untuk tujuan bergambar supaya nampak semenggah sikit berbanding kalau bergambar kat tangga rumah. Sebab anak saudara saya tak bersanding pun.

Nasib baik le time anak sedara saya kawen ni, saya dah kawen. Kalo tidak memang saya tak balik dan lebih rela tak join wedding dia sebab malu kalo saya masih single. Mungkin saya akan tetiba je cakap, "moksu kena kerja la masa raya cina tu", padahal dok jadi loser sorang2 kat umah, tengok rancangan sarkas kat TV je. kehkeh... Saya ni kan hati lemah, kuat emo.

Seperti yang dijanjikan, nak expose gambar pelamin tu. Hihi. Sila redha je kalau korang rasa pelamin tu tak cantik. Ini je yang tersimple mampu saya buat.Dah tu, mak pengantin memang request untuk buat simple je. Taknak glamer2.

Collaboration. Saya ajak mat Azghul buat bisnes pelamin-pelamin ni. Tetiba dia reject daaaa... Dia kata tak sesuai dengan jiwa dia. Ceh. Potong. Tak jadi nak berangan.

Sebelum letak platform, kerusi dan karpet.

Gigih.

Kain organza, buat bulat pastu letak bunga ros sekuntum kat tengah.

Belakang tu letak pin di 4 penjuru.

Ranting-ranting yang ada bebola gabus. Beli kat kaison je. Murah. Then letak bunga-bunga tu.
So, itu je la kisah pelamin yang simple dan sweet. Kos pun murah je. Kalau ada bakal-bakal pengantin yang taknak bersanding dan nak buat pelamin kecik yang ala kadar je, boleh la cuba buat sendiri.

15 February 2013

Ketagihan

Sejahteralah ke atas kamu....

Sekarang ni saya ketagih dengan ini;

Air kedondong asam boi.
Pagi-pagi lagi dah pergi cari air ni. Tak tau arrr... Tapi tekak saya rasa mcm ni la minuman paling sedap di alam semesta buat masa ni. Yang ini memang pekat. Dia letak 4 biji kedondong, 3 ulas asam boi putih dan gula 1 setengah sudu. Harga dia RM4.00 satu cup. Sekian.


*bahye tak kalo minum air ni tiap2 hari? 

14 February 2013

Bendera Anak Derhaka

Sejahteralah ke atas nkorangs.


I'm bekkkkk!!

Anak Derhaka
Sekarang barulah saya faham, kenapa kita TAK BOLEH derhaka kepada mak ayah kita. Dulu macam faham jugak, tapi tanpa praktikal, hanya teori. Bila dah pregnant ni, rasakanlah bagaimana perasaan seorang ibu yang  mengandungkan anaknya. Bermula dengan alahan yang teruk, banyak benda yang tak boleh makan. Badan lemah. Kepala pening. Sentiasa tak sihat. 
Si Tanggang ni tak tau kot mak dia susah payah mengandung dan melahirkan dia. Haa.. kan dah jadi batu.

Walaupun ibu-ibu yang tidak mengalami alahan teruk di awal kandungan, bila tiba penghujung kehamilan pun tetap akan rasa betapa susahnya mengandung ni. Nak tidur susah. Perut berat. Selalu rasa sakit bahagian pinggang/punggung. Mengiring tak kena, terlentang tak kena. Nak bergerak pun susah. Nak bangun tidur pun susah. Nak pergi toilet pun susah. Itu belum cerita sakit nak bersalin. Huuwaaa... [Makk.... orang mintak maaf banyak-banyak sebab masa sekolah menengah dulu orang selalu je melawan cakap mak. Mak suruh buat mende-mende, orang selalu je buat tak tahu sampaikan last-last mak yang kena buat sendiri apa yang mak suruh tu. Orang mintak maaf sebab selalu je memilih makanan yang mak dah masak penat-penat pastu orang taknak makan kalo lauk tak sedap. Huuu... Kalau la orang tau cemana seksanya mak masa mengandungkan orang dulu, orang la yang akan jadi anak paling taat kat mak dalam dunia ni.] 

Ayah pula... adalah orang yang akan sentiasa ada di sisi emak untuk menghadapi semua kesusahan mak semasa mengandungi kita. Hanya ayah la sebagai seorang suami yang nampak penderitaan isterinya semasa mengandung. So, apa lagi alasan kita sebagai anak untuk mengenepikan mak ayah kita? 


Bendera
Adakah  pendirian atau sokongan seseorang terhadap sesebuah parti akan berubah serta merta dengan hanya melihat bendera yang banyak bergantungan di sekelilingnya? Bagi saya, tak perlu pun letak bendera banyak-banyak sempena nak pilihanraya ni. Letak la banyak mana pun bendera, kalau orang kat kawasan tu dah tak sokong sesuatu parti tu, maknanya mereka tetap tak sokong jugak. Dan kalau orang tu pulak dah memang sokong sesuatu parti tu, walautak ada sehelai pun bendera parti yang disokong tu dikibarkan, sokongan dia tetap juga kepada parti yang disokong. Setuju?

Pendapat ini saya tembak untuk semua parti politik tak kira pembangkang atau kerajaan. Nak print bendera dah berapa banyak kos? Berapa helai bendera yang perlu disediakan? Berapa kawasan DUN? Berapa daerah? Untuk berapa negeri? Banyak kan? Kemudian nak upah orang gantung bendera pun dah berapa lagi kos. Setahu saya, seseorang yang diupah untuk gantung bendera dibayar RM50 satu malam. Banyak ke tak banyak duit yang dibazirkan semata-mata untuk bendera sahaja. Secara psikologinya, mungkin bendera itu perlu untuk tunjukkan kekuatan parti. Tapi tak perlu banyak melampau.
Perang bendera yang tak membawa manfaat.


Wajarkah pembaziran begitu, jika dalam masa yang sama, masih ada rakyat di Malaysia ini yang susah dan bergelandangan hidup di bawah jambatan bersama keluarga sebab tak mampu untuk menyewa rumah? Kalau betul nak promote parti politik dengan bendera, sila pastikan semua rakyat cukup makan, sila pastikan tiada rakyat yang 'layak' masuk di dalam rancangan Man Jadda Wa Jada atau 'Bersamamu'. Bendera-bendera tu, selepas habis je pilihanraya umum, tak dapat dimanfaatkan pun oleh rakyat. Nak buat apa dengan bendera? Nak buat baju? Nak buat selimut? Nak jual? Pemimpin-pemimpin, sila fikir guna otak ye, cara nak elakkan pembaziran ni.

07 February 2013

Selamat Bercuti Untuk Diriku Sendiri

Sejahteralah ke atas kamu..

Seperti yang pernah diberitahu di dalam entry sebelum ini, bahawa saya mula bermula hari ini. Petang-petang sikit nak balik kampung.

Blog saya ni dah makin jarang saya update. Tak ada idea la sebenarnya. Kalau setakat nak cerita pasal personal tu memang la banyak. Tapi saya ni kan pemalu. Perkara personal eloklah dibiarkan terus menjadi personal. Walaupun saya tau ada orang yang suka baca kisah personal sebab lebih realistik ye tak? 

Prestasi
Prestasi blog saya pun dah makin menurun. Dulu kalau tak update blog pun, masih maintain unique visit ke blog saya. Tapi sekarang bila tak update je, memang jatuh banyak. Nampaknya blog saya ni memang ada reader tersendiri yang hanya lawat blog bila ada entry baru. Sebelum-sebelum ni mungkin hanya pelawat yang bukan loyal reader saya. 


Bloglist
Cemana kriteria untuk saya letakkan blog seseorang tu di blog list saya? Tak de peraturan ketat pun. Hanya ada 2 kriteria. Pertama, kalau saya tengok orang tu selalu komen blog saya, saya akan letak le dia dalam bloglist. Supaya saya tak tertinggal untuk komen blog dia plak bila dia update. Nama nak tengok kat dashboard, memang mimpi di tengahari je la. Tak rajin plak nak buka kat dashboard. Dan yang kedua kalo saya tengok dia letakkan blog saya di bloglist dia. So, kalau ada sesape yang nak blog dia termasuk dalam bloglist saya, rerajin le komen. 

Okay la.. itu je. Entry ni auto-publish. Chow cin chow!

05 February 2013

Wedding : Pelamin Anganmu Tidak Musnah

Sejahteralah ke atas kamu...

Ini adalah kisah tentang seorang wanita mengandung yang tak sedar diri, taknak kalah yang dia tu mengandung. Hujung minggu ini, anak sedara saya akan melangsungkan perkahwinan. Walaupun dia bukan cucu pertama mak dan abah saya, tapi dia adalah cucu pertama yang berkahwin. Kira macam langkah koridor la ni. Saya pulak dengan rela hati menawarkan diri untuk membuat mini pelamin untuk tujuan bergambar. Tak sedar diri kan? Awk tu boyot. Pastu sibuk je nak participate. Sape nak dtg meh la dtg. Eceh, ajak cam tak ikhlas je. Alamat rumah pun tak bagi ye tak?

Saya akan mula bercuti Khamis ini [7.2.2013] untuk buat further check up di PPUM.Lepas tu terus balik kampung.

Okay, cerita pasal nak buat pelamin pulak. Kalau ikutkan keluarga saya, memang takde sorang pun adik beradik saya yang bersanding masa kahwin. Termasuk la saya. Kalau ada pun hanya pelamin yang sangat-sangat simple je, itupun hanya untuk bergambar dengan tetamu atau kawan-kawan yang datang. Ye la... kiterang pun fikir jugak, takkan la majlis kawen, bila time bergambar dengan pengantin, nak pegi bergambar depan pintu pagar plak. Paling tidak mesti ada tempat bunga-bunga berhias yang 'proper' skit untuk dijadikan kenangan di dalam gambar.

Walau cemanapun, pelamin masa saya kawin dulu memang bapak le buruk. Sebab warna saya mintak silver+merah, tapi akak yang tolong buat tu letak warna biru+merah. Dah nampak macam balai bomba bersebelahan balai polis. Tapi takpe., Yang penting selamat dah kawen dan selesai semuanya dengan lancar. 

Untuk pelamin anak buah saya ni, saya nak buat simple je. InsyaAllah. Nanti bila dah siap, saya share la gambar pelamin yang tak diangankan pun oleh anak sedara saya tu dan insyaAllah pelamin tu akan elok-elok saje, tidak musnah.

04 February 2013

DIY - Tilam Dan Barut Bayi

Sejahteralah ke atas kamu...

Kehamilan minggu ke 34. Semua barangan baby yang saya listkan untuk beli, sudah pun diselesaikan membelinya semalam. Paling last ialah toiletries. Saya beli jenama Pureen. Saya beli yang medium je. Saje tanak beli yang besar sebab kot-kot bau tu saya dah boring, tak de la lama nak tunggu untuk beli baru kan. Bila dah bawak balik umah, susun atas meja. Pagi tadi bangun-bangun tido, masa lalu kat meja, semerbak je bau baby. Indah dan bahagia je rasa.

All in one. Kan senang. Takyah nak beli asing-asing shower cream, shampoo. Bau anggur lagi uols.

Senang nak basuh sayur-sayuran nanti. Ngehngeh.

Orang zaman dulu takde pun nak beli detergent special utk basuh lampin anak ye tak? Elok je kita hidup skrg. Tapi takpe la. Memandangkan saya terasa mengada-ngada, so saya beli je la.

Padahal boleh je beli tepung ubi yang timbang kilo punya. Tapi kan saya ni mengada2. Beli yang botol camni baru la nampak modern mum skit ye tak? Ekeke.



Kalau part membeli dah selesai. Tapi part DIY ada yang belum selesai. Barut 10 helai dah siap.




Guna kain flanel. Sesungguhnya buat sendiri memang sangat jimat. Semeter kain flanel berharga RM6 semeter boleh dpt 4 helai barut atau lebih. Kalau beli, sehelai barut dah RM5. Itu pun yang paling murah.


Takde la lawa sangat barut yang saya buat. Tapi untuk anak sendiri pakai tu boleh la. Saya hanya buat 10 helai. 6 saiz kecik, 4 saiz besar. Yang warna purple tu saje je try nak buat kaler lain. Itupun kira baik la saya tak tau jantina anak saya ni. Kalau tak, nak buat barut guna kain corak bunga-bunga.


Tilam kekabu dan bantal dah siap. Cuma sarungnya je belum. Rasanya itu je la yang masih belum siap.


Nak jahit bagi kembung-kembung kat tengah2 ni bukan senang. Sampai luka-luka tercucuk jarum. Huhu.




Yang Ini Juga Menarik

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...